Meal Seç / Sure Seç

NUH Suresi

(MALAY) QURAN


71 - NUH
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
        
1. Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya.
2. Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;
3. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;
4. Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman).
5. (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
6. Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).
7. Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.
8. Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
9. Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.
10. Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
11. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
12. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
13. Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -
14. Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?
15. Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
16. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
17. Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,
18. Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati) dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?
19. Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,
20. Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya.
21. Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
22. Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).
23. Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd dan Suwaa' dan Yaghuth dan Ya'uuq, serta Nasr.
KURAN uygulamasını telefonunuza siz de yükleyin: