Meal Seç / Sure Seç

AN-NABA' Suresi

(MALAY) QURAN


78 - AN-NABA'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
        
1. Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
2. Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
3. Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
4. Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).
5. Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
6. (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
7. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
8. Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
9. Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
10. Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
11. Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?
12. Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
13. Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?
14. Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
15. Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
16. Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
17. Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,
18. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
19. Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
20. Dan gunung-ganang, setelah dihancurkan, diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
21. Sesungguhnya Neraka Jahannam adalah disediakan;
22. Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
23. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
24. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman;
25. Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir,
26. Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
27. Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
28. Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
29. Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
30. (Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu.
31. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
32. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
33. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
34. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
35. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta;
36. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
37. Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
38. (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
39. Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
40. Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).
KURAN uygulamasını telefonunuza siz de yükleyin: