1. |
Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;
|
2. |
Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya;
|
3. |
Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya;
|
4. |
Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya;
|
5. |
Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat).
|
6. |
Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),
|
7. |
Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing);
|
8. |
Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,
|
9. |
Pemandangannya tunduk gerun.
|
10. |
Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?
|
11. |
Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?
|
12. |
Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!
|
13. |
(Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua);
|
14. |
Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.
|
15. |
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
|
16. |
Ketika dia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci;
|
17. |
(Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);
|
18. |
Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?
|
19. |
Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?
|
20. |
(Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar.
|
21. |
Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah);
|
22. |
Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).
|
23. |
Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru;
|
24. |
Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.
|
25. |
Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.
|
26. |
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).
|
27. |
(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!
|
28. |
Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,
|
29. |
Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.
|
30. |
Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya);
|
31. |
Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya;
|
32. |
Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);
|
33. |
(Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
|
34. |
Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar;
|
35. |
Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya;
|
36. |
Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya;
|
37. |
Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya);
|
38. |
Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata;
|
39. |
Maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah tempat kediamannya.
|
40. |
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu;
|
41. |
Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
|
42. |
Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya?
|
43. |
Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
|
44. |
Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.
|
45. |
Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
|
46. |
(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. |